SEPANG - Meskipun berjaya memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Beijing 2008, namun beregu lelaki negara, Koo Kien Kiat- Tan Boon Heong mungkin bakal dipisahkan selepas gagal meraih pingat pada Temasya London.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Salleh mengakui, idea memisahkan pasangan yang pernah digelar beregu emas itu bakal menjadi agenda badan tersebut selepas ini.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan, Kien Kiat atau Boon Heong sendiri memohon untuk bertukar pasangan.
"Kalau ini (betul), ia lebih baik. Ini adalah untuk kebaikan mereka juga dan jika mereka terus tidak berkembang kenapa kita perlu kekalkan mereka.
"Malah, kami dapat lihat pada perlawanan akhir mereka seolah tiada keserasian apabila kedua-dua pemain berlari pada tempat yang sama untuk membalas pukulan lawan.
"Sememangnya kita mengharapkan mereka dapat menyumbang sekurang-kurangnya pingat gangsa tetapi mereka tidak berjaya melakukannya," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan skuad badminton negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sini, semalam.
Pada Olimpik Beijing 2008, Kien Kiat-Boon Heong, yang mula bergandingan pada 2006 sekadar melangkah ke suku akhir sebelum tewas kepada beregu Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan 16-21, 18-21.
Di Olimpik London, bekas pasangan No. 1 dunia itu berjaya memperbaiki keputusan empat tahun lalu dengan layak ke separuh akhir namun tewas kepada beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng.
Dalam perebutan gangsa pula, mereka dijinakkan pasangan No. 1 dunia Korea Selatan, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae 21-23, 10-21.
0 comments:
Post a Comment