‘Atlet kita makin hebat’
JIKA persembahan atlet negara di London 2012 ini diambil kira, Malaysia boleh dianggap berada di ambang memenangi lebih banyak pingat di temasya akan datang.
Memberikan kesimpulan keseluruhannya selepas semua atlet Malaysia menamatkan cabaran semalam, ketua kontinjen, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, barisan atlet negara menampilkan persembahan berinspirasi di kota London ini.
Beliau yang tidak ketinggalan menyaksikan hampir kesemua persembahan atlet negara, menganggap pencapaian satu perak dan satu gangsa yang diraih kontinjen negara itu sebagai permulaan ke arah pencapaian yang lebih baik.
“Walaupun jumlah pungutan pingat di London ini tidak menggalakkan selain emas yang kita sasarkan masih belum menjadi kenyataan, Malaysia sebenarnya boleh memandang temasya akan datang dengan lebih yakin kerana buat pertama kalinya, kita memperoleh pingat daripada dua sukan berbeza.
“Kita kini bagaikan berada dalam transisi untuk memenangi lebih banyak pingat dan tidak mustahil juga emas, kerana selain badminton, kita sudah boleh menyandarkan harapan kepada sukan lain,” katanya.
Sambil memuji Pandelela Rinong yang meraih pingat gangsa dalam acara terjun 10m platform, beliau menyifatkan penerjun itu sebagai fenomena baru dalam sukan negara.
“Dia begitu mengagumkan apabila menunjukkan semangat juang tinggi dengan bangkit daripada ketinggalan untuk menduduki tempat ketiga. Semangat juang seperti itu yang perlu ada dalam diri setiap atlet kita,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Sarji menuntut beberapa langkah perlu diambil untuk memastikan hala tuju sukan negara berada di laluan tepat dengan penekanan harus diberikan terhadap Rio 2016.
“Semua pihak harus memainkan peranan. Dana kerajaan, kejurulatihan, media dan penaja harus bergerak seiringan ke arah matlamat yang sama. Jika semua pihak terbabit mengambil anjakan paradigma itu, atlet kita mampu membuatkan rakyat Malaysia berasa bangga dan megah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment