Saturday, August 18, 2012

Lagi kes bunuh gadis yang kali ini mati dikelar

Anggota polis mengusung mayat Yasuhaidah (gambar kecil) yang ditemui mati di depan pintu di dalam rumah sewanya semalam.


PETALING JAYA – Seorang gadis sempat membuat biskut raya untuk dikirim kepada ibu bapanya di Beruas, Perak sebelum ditemui mati dengan lehernya dikelar di depan pintu sebuah rumah flat di Flora Damansara di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, mangsa, Yasuhaidah Yeop, 22, yang merupakan kakitangan pusat perkembangan minda kanak-kanak di Mutiara Damansara meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai 14 kesan kelaran di leher dan kepala, kesan luka di kedua-dua belah tapak tangan, empat kesan tikaman di kedua-dua belah rusuk, satu tikaman di belakang leher dan satu kesan luka di perut.
Mangsa menyewa di rumah yang terletak di tingkat enam flat berkenaan bersama seorang kakaknya namun semasa kejadian mangsa berada seorang diri di rumah tersebut.
Kakak mangsa, Yanoaini Yeop, 35, berkata, dia mengetahui kejadian malang yang menimpa Yasuhaidah yang mesra dipanggil Ucuk apabila seorang lagi adik perempuannya yang tinggal bersama mangsa menghubungi suaminya, Syahar Mohd. Ali, 38, pada pukul 4 pagi.
“Masa menelefon, dia (adik) minta suami saya bertenang sebelum beritahu Ucuk sudah tiada (meninggal dunia) kena tikam,” kata wanita itu ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.
Menurut Yanoaini, mangsa menyewa di flat itu bersama kakaknya, Yazniyana Yeop sejak enam bulan lalu namun semasa kejadian gadis itu tinggal seorang diri kerana kakaknya keluar bersama teman lelakinya untuk membeli barangan keperluan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
Yanoaoni memberitahu, anak bongsu daripada lapan beradik itu tidak mengikut kakaknya membeli-belah di Jalan TAR pada malam tersebut kerana mahu berehat untuk bekerja syif pagi semalam.
“Sebelum keluar rumah, Yazniyana ada pesan dengan Ucuk yang dia akan pulang lambat dan mahu bersahur bersama-sama,” katanya sambil memberitahu Yazniyana bekerja di sebuah restoran makanan segera.
Sebelum itu, pada petang kelmarin, dua beradik itu yang menunggang motosikal berkunjung ke rumahnya di Taman Medan di sini menghantar biskut raya yang dibuat sendiri oleh mereka untuk dikirim kepada keluarga di Beruas.
“Petang itu (kelmarin), Ucuk bawa dua anak saya berjalan-jalan di kawasan rumah sebelum mereka berdua balik ke Damansara selepas berbuka puasa,” kata Yanoaoni.
“Ini kali pertama Ucuk membuat sendiri biskut raya untuk keluarga,” katanya.
Yanoaini memberitahu, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, gadis itu merancang beraya di ibu negara kerana hanya bercuti satu hari pada hari raya tersebut.
“Ucuk beritahu dia akan pulang beraya ke kampung pada hari raya kelima,” katanya.
Mangsa sebelum ini tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya di kampung dan pernah beberapa kali menukar pekerjaan sejak datang ke ibu negara sebelum pulang ke kampung dan datang semula ke ibu negara.
Dalam pada itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui Kosmo! berkata, ketika kejadian dia sekeluarga yang bangun untuk bersahur terdengar suara orang seolah-olah mengerang kesakitan meminta tolong lebih sepuluh kali.
Selain itu, jiran itu juga mendakwa dia terdengar bunyi seperti orang menendang pintu jeriji beberapa kali.
“Suara meminta tolong itu tidak jelas kerana mangsa mungkin sedang kesakitan jadi saya minta abang keluar untuk periksa apa yang berlaku,” katanya yang tinggal di tingkat lima flat yang sama.
Menurut saksi itu lagi, dia yang turut naik ke tingkat atas terkejut apabila melihat seorang wanita berpakaian lengkap dalam keadaan terbaring berlumuran darah di depan pintu jeriji yang berkunci tetapi pintu kayu terbuka sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, dia tidak mengenali mangsa kerana mereka tinggal di tingkat berasingan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Difahamkan, polis yang menyiasat lokasi kejadian menemui segumpal rambut milik mangsa dipercayai direntap oleh suspek. Polis menemui menemui dua bilah pisau yang dipercayai turut mempunyai kesan darah.
“Tiada kesan umpil dan pecah masuk pada pintu rumah itu,” kata beliau.

Share on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright My General Story 2011 - Some rights reserved | Powered by Blogger.com.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates and Theme4all