Johor Bahru: Seorang penganggur yang menikam mati bapa mentuanya menggunakan pisau rambo kira-kira dua tahun lalu, dihukum gantung sampai mati semalam.

Tertuduh, Mohd Azuwa Talib, 25, diperintah menjalani hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi, di sini, selepas didapati bersalah membunuh mentuanya, Armen Suardi, 55, di rumah nombor 51, Jalan Bendahara 3, Bandar Tenggara, antara jam 2.30 petang 8 November hingga 5.20 pagi 9 November 2010.
Bapa kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu, didapati bersalah membunuh mangsa dengan menikam menggunakan pisau rambo pada dada dan kepala yang turut menyebabkan kecederaan otak.


Buktikan kes prima facie

Hakim Samsudin Hassan, mendapati tertuduh bersalah selepas pihak pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar, membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan berkenaan.

Samsudin berkata pembelaan oleh tertuduh yang diwakili peguam bela, Ruhaizamin Johari dan Ummu Aiman Azizan, juga tidak menepati nas undang-undang, selain gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan dihadapinya.

“Dua tikaman pada badan dan satu di kepala yang menembusi tengkorak serta otak mangsa, jelas membuktikan kejadian itu bukan satu kemalangan, sebaliknya dilakukan dengan sengaja oleh tertuduh.
“Malah, bukti juga menunjukkan serangan si mati pada hari kejadian juga tidak boleh memberi sebarang kecederaan kepada tertuduh. Pergaduhan antara tertuduh dan si mati juga bukan sesuatu yang baru,” katanya.~ BERITA HARIAN