GAMBAR HIASAN |
MENJELANG Aidilfitri berbaki seminggu saja lagi. Saya pasti anda semua sibuk menyiapkan segala kelengkapan dan persiapan terakhir sempena hari mulia ini.
Ia secara tidak langsung menggalakkan tubuh badan anda untuk bergerak. Ini bermakna, anda juga melakukan senaman. Persiapan raya selalunya berkait rapat dengan wanita kerana golongan ini lebih handal apabila membabitkan urusan berkenaan.
Untuk pengetahuan, senaman itu penting untuk semua lebih-lebih lagi terhadap wanita. Persoalannya, mengapa?
Kaum wanita melalui pelbagai fasa dan perubahan fizikal dalam kehidupan mereka daripada zaman remaja, bermulanya menstruasi ke fasa kehamilan, menjadi seorang ibu hingga ke tahap menopaus.
Kaum wanita melalui pelbagai fasa dan perubahan fizikal dalam kehidupan mereka daripada zaman remaja, bermulanya menstruasi ke fasa kehamilan, menjadi seorang ibu hingga ke tahap menopaus.
Nampaknya, pelbagai dugaan dihadapi wanita apatah lagi bagi mereka yang juga bertugas sepenuh masa. Di samping bekerja dan menjaga anak-anak, agaknya bila pula mereka mempunyai masa untuk bersenam dan menjaga kesihatan diri sendiri?
Berikut lapan sebab senaman begitu penting untuk wanita:
1. Membantu mengurangkan berat badan
Ia adalah azam kebanyakan wanita di kala tahun baru, mahu mengurangkan lima, 10 atau 20 kilogram (kg). Senaman adalah satu aspek yang penting bagi mereka yang mahu mengurangkan berat badan.
Sekiranya anda sudah memulakan pelan pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman akan membantu dan mempercepatkan lagi proses pengurangan berat badan dan pembakaran lemak berkenaan.
Dengan mengurangkan berat badan, anda akan mempunyai tubuh yang lebih sihat selain dapat mengelakkan pelbagai masalah yang mungkin dihadapi sekiranya mempunyai berat badan yang tinggi atau obes.
2. Membina kecergasan dan kekuatan tubuh
Sekiranya anda mudah berasa letih dan lemah untuk mengerjakan aktiviti fizikal tertentu, senaman akan membantu membina kecergasan serta kekuatan tubuh.
Bayangkan apabila dapat mengikuti aktiviti sukan syarikat anda dengan penuh bertenaga atau boleh bermain dan berkejaran dengan anak-anak. Bukankah itu lebih baik daripada hanya duduk di tepi sebagai penonton?
3. Menjana tenaga
Anda sudah menghadapi hari yang sibuk di pejabat maka kini tubuh anda hanya mahu berehat. Tetapi, banyak lagi kerja atau perkara lain yang perlu disiapkan.
Bagaimana? Percaya atau tidak, senaman yang anda rasakan mungkin lebih meletihkan dan menyambar tenaga anda sebenarnya akan menjana lebih tenaga untuk membuatkan diri berasa lebih hidup!
Ini kerana, senaman itu menghasilkan endorfin dan adrenalin iaitu hormon yang memberikan tenaga kepada anda. Meskipun begitu, jangan bersenam terlalu lewat pada waktu malam. Anda mungkin terlebih tenaga dan sukar untuk tidur pula.
4. Membantu menjaga kesihatan jantung, mencegah osteoporosis dan barah payudara
Sekiranya anda mempunyai sejarah keluarga yang menghadapi masalah jantung, osteoporosis atau penyakit barah, mulakan bersenam kerana ia dapat membantu mencegah masalah berkenaan.
Osteoporosis dan barah payudara khususnya adalah penyakit yang kritikal kepada wanita. Apa saja yang anda dapat lakukan untuk membantu mencegahnya adalah satu langkah yang baik. Statistik menunjukkan senaman memang membantu merendahkan risiko penyakit ini di kalangan wanita.
5. Penghilang tekanan
Dengan seribu satu perkara yang perlu dihadapi dan disiapkan setiap hari, siapa yang tidak akan mengalami tekanan. Bersenam adalah satu cara yang baik untuk meredakan tekanan. Apabila bersenam, anda mengeluarkan peluh dan toksin dari badan. Senaman seperti kickboxing, seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwondo, melakukan aerobik dan menari memang bagus untuk melepaskan tekanan.
Malah, ia sebenarnya menyeronokkan!
6. Sebagai aktiviti tambahan untuk diri anda
Sebagai ibu, isteri dan bekerja sepenuh masa, anda jarang mempunyai masa untuk diri sendiri. Keluarga, anak-anak dan tugas pejabat sentiasa didahulukan.
Pilih masa untuk diri anda saja iaitu ‘Me Time’. Lebih baik sekiranya anda isi dengan senaman yang menyeronokkan dan membantu menyeimbangkan kesihatan fizikal dan mental.
7. Satu contoh yang baik untuk keluarga dan anak-anak
Bersenam menetapkan contoh yang baik untuk keluarga terutama anak-anak agar mereka juga menjaga kesihatan bermula di usia muda. Ramai kanak-kanak atau remaja yang tidak menggemari subjek pendidikan jasmani di sekolah dan anda boleh membantu mengubah tanggapan mereka.
Bersenam sebenarnya boleh menjadi aktiviti mingguan keluarga yang menyeronokkan dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan anda.
8. Anda akan berasa dan kelihatan hebat
Ini tentunya salah satu sebab yang paling penting. Apabila anda bersenam, anda menjaga kesihatan daripada segi fizikal dan mental, dalaman dan luaran.
Ia akan menunjukkan hasil luaran yang mana anda akan kelihatan dan berasa hebat! Tahap keyakinan anda juga akan meningkat dan ini mampu merubah tanggapan anda terhadap kehidupan. Sudah pasti ia sesuatu yang tidak ternilai.
0 comments:
Post a Comment