AGAK lama juga gadis genit kelahiran Jakarta, Indonesia ini menyepikan diri daripada dunia hiburan. Acha Septriasa kalau tidak tersenyum, bibirnya lebih banyak berbicara dengan gaya yang menyenangkan.
Semasa diperkenalkan melalui filem Heart pada tahun 2006, Acha masih berusia belasan tahun. Kini pada usia 23 tahun, Acha boleh menjawab dengan lebih matang dan tenang.
Usai belajar dan menggenggam Ijazah Komunikasi Massa Multimedia dan Penyiaran daripada Universiti Limkokwing di Cyberjaya, dia pulang ke kota kelahirannya di Indonesia.
Merindukan Kuala Lumpur terutamanya roti canai dan lebuh raya yang lancar serta sistematik, Acha menyusun pelbagai aktiviti seni dan peribadinya di Jakarta.
Terbaru, dia selesai menjalani penggambaran filem Rectoverso The Film, sebuah adaptasi daripada novel nukilan Dewi Lestari. Acha turut menyanyi untuk single runut bunyi filem tersebut.
Apa perbezaan beraya di Malaysia dan Indonesia? Apa ciri khas lebaran di sana?
Di Indonesia ada lebih banyak mercun berbanding Malaysia. Di sana, ketupat dimakan bersama gulai kambing atau opor ayam. Kalau Malaysia ada duit raya, kami ada istilah salam tempel yang bermaksud angpau lebaran.
Biasanya semua individu yang bekerja atau punya sumber pendapatan, harus memberi salam tempel kepada kanak-kanak.
Di Jakarta pula, cuti hari raya selalunya selama dua minggu, jadi kota itu sunyi sepi dan bebas daripada kesesakan lalu-lintas dalam tempoh raya.
Berlainan dengan Malaysia, makan lemang atau ketupat akan berlaukkan rendang. Di sini saya suka makan roti canai dengan kuah kari termasuk pada hari raya. Cuti di Malaysia juga cuma seminggu dan trafiknya lancar sekali.
Hari raya dikaitkan dengan kemenangan, apa takrifan lebaran buat Acha?
Makna raya buat Acha ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang menjalankan ibadat puasa dengan iman dan takwa.
Ia hari penuh berkat kerana umat Islam dapat merapatkan silaturahim dengan mengunjungi sanak saudara. Hari itu juga dilimpahi rahmat kerana mereka akan kembali kepada fitrah selepas sebulan berpuasa.
Boleh ceritakan perkembangan terkini Acha?
Sekarang saya sedang mempromosikan filem Test Pack: You Are My Baby yang akan dilancarkan 6 September ini. Saya juga sibuk dengan rakaman lagu runut bunyi untuk filem seterusnya berjudul Rectoverso The Film yang bakal dilancarkan Oktober ini.
Kongsikan sedikit tentang single Curhat Buat Sahabat.
Single tersebut diterbitkan oleh Universal Music manakala penyusun muziknya Tohpati, sang gitaris. Dalam album itu juga ada sebuah lagu nyanyian Glenn Fredly iaitu Malaikat Juga Tahu.
Bagaimana dengan kegiatan di luar bidang seni?
Saya harap dapat bekerja di Petronas Jakarta pada Oktober tahun ini.
Sumber kosmo
0 comments:
Post a Comment