FENOMENA band boy tersohor Korea, Big Bang makin berleluasa. Populariti yang diraih lima anggota kumpulan terdiri daripada G-Dragon, Daesung, T.O.P, Taeyang dan Seungri bukan sekecil anak. Selain G-Dragon dan T.O.P, Taeyang juga seorang anggota yang turut digilai ramai.
Masing-masing bijak memasarkan diri kerana selain bersatu di bawah nama Big Bang, ada di antara mereka termasuk Taeyang sendiri tampil dengan album solo. Kemunculan album mini berjudul Hot pada Mei 2008 menjadi bukti kecintaan Taeyang atau nama sebenarnya, Dong Young Bae dalam memperjuangkan muzik solo.
Menerusi album berkenaan, Taeyang yang juga menamakan dirinya dengan panggilan Sol popular dengan lagu Only Look At Me. Album itu turut melayakkan penyanyi yang juga model ini memenangi dua anugerah di 7th Korean Music Awards menerusi kategori Lagu dan Album Terbaik untuk genre R&B/Soul.
Bangkit semula
Ada yang menyifatkan album mini itu pernah mengecewakan Taeyang secara peribadi. Seterusnya pada Julai 2010, Taeyang bangkit lagi dengan album penuh berjudul Solar memuatkan 13 lagu termasuk lagu I Need A Girl dan I’ll Be There.
Album penuh terbabit melayakkan Taeyang menerima kategori Penyanyi Lelaki Terbaik di dalam dua anugerah iaitu 2010 Mnet Asian Music Awards dan Seoul Music Awards. Difahamkan Taeyang akan muncul dengan album solo terbarunya sekitar tahun ini.
Bagaimanapun, umum tahu komitmen Taeyang bersama Big Bang ketika ini begitu sibuk mempromosikan album terbaru mereka Alive sejak Februari lalu dan album edisi istimewa, Still Alive, selain sibuk dengan konsert jelajah mereka.
Malaysia turut menjadi lokasi pilihan Big Bang pada 27 Oktober ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Konsert dipanggil BIGBANG Alive Galaxy Tour 2012 Malaysia itu direalisasi dengan anggaran kos sebanyak RM 4 juta. Ia ditaja oleh Samsung Galaxy, dipersembahkan oleh YG Entertainment dan Livenation serta dianjurkan oleh Running Into The Sun dengan PMP sebagai rakan kerjasama rasmi.
Sambutan hebat
Tiket konsert ini cukup laris dijual pada 28 Julai lalu di Fahrenheit88, Bukit Bintang. Dianggarkan sekitar 95 peratus tiket habis dijual dalam hanya beberapa jam sejak kaunter mula dibuka seawal jam 10.30 pagi. Difahamkan ada peminat tegar kumpulan ini yang sanggup beratur sehari sebelum kaunter jualan dibuka.
Betapa hebat penangan Big Bang. Sebelum ini, di Indonesia tiket konsert kumpulan ini habis dijual secara on-line hanya dalam masa 30 saat saja. Di Indonesia, konsert mereka dijadualkan berlangsung 13 Oktober, lebih awal dari Malaysia.
Untuk memastikan mutu dan perjalanan konsert Big Bang yang baik di Malaysia, pihak penganjur dikatakan menjalinkan bekerjasama dengan tenaga produksi yang pernah bekerja untuk penghibur antarabangsa seperti pengarah kreatif, Laurieann Gibson yang bekerja untuk konsert Lady Gaga, Beyonce, Janet Jackson dan Katy Perry.
Bukan itu saja, pereka cahaya lampu, Leroy Bennett yang pernah bekerjasama dengan Madonna, Paul McCartney, dan Eagles serta jurutera bunyi, Ken Van Druten yang mendapat kepercayaan Eminem, Jay-Z dan Linkin Park turut terbabit dalam konsert ini.
Bersih kontroversi
Berbalik kepada cerita Taeyang, jejaka ini disifatkan cukup bersih daripada kontroversi berbanding beberapa rakannya di Big Bang. Daesung contohnya pernah dituduh menyebabkan kematian dalam satu kemalangan jalan raya, manakala G-Dragon didapati positif dadah.
Taeyang juga sepi dan jarang menerima tempias kontroversi, skandal atau hubungan cinta. Malah pernah bertebaran gosip mengatakan dia lebih meminati kaum sejenis. Lagu I Need A Girl dikatakan menjadi terjemahan menafikan persepsi sesetengah pihak mengenai orientasi seksnya.
Taeyang juga cukup fasih berbahasa Inggeris. Malah di laman Twitter miliknya menggunakan nama @Realtaeyang, jejaka comel ini lebih selesa mengemaskini perkembangan dan statusnya menggunakan bahasa Inggeris. Buat peminat Big Bang di Malaysia, jika masih belum membeli tiket menonton konsert mereka, boleh mencuba nasib melayari www.ticketcharge.com.my. atau www.runningintothesun.com.
Sumber drp B.H
0 comments:
Post a Comment