Thursday, August 9, 2012

Azizulhasni mohon maaf dengan rakyat malaysia

 LONDON - Menangis hingga keluar air mata darah sekalipun tidak akan mengembalikan hari semalam, namun apa yang perlu menjadi renungan buat Mohd. Azizulhasni Awang ialah dia masih mempunyai empat tahun lagi untuk memasang azam baru sebelum Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil.
Mengakui dirinya memerlukan 'kuasa' untuk bertahan lama, Azizulhasni yang terlepas peluang pingat dalam acara akhir keirin berkata, dia telah memberikan persembahan terbaik, namun tidak mampu mengerah kudratnya lagi sebaik perlumbaan memasuki pusingan terakhir.
"Saya diundi dalam lorong kelima menyebabkan saya ketinggalan di belakang sebaik perlumbaan bermula. Saya tahu kedudukan ini mengundang risiko besar dan saya telah memecut dari awal memintas semua pelumba untuk berada di depan. Ketika itu rentak kayuhan semakin laju dan saya terpaksa mengekalkan kelajuan itu sehinggalah baki dua pusingan lagi, semua (pelumba lain) memecut dan ketika itu saya cuba mempertahankan kedudukan, namun ia agak sukar.
"Saya sudah kehabisan tenaga dan ketika itulah mereka yang lain mengekori rapat dan mula menghimpit termasuklah pelumba Belanda yang juga bekas juara dunia, Teun Mulder. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana dikepung. Saya cuba mengekalkan kedudukan di belakang pemenang pingat emas yang juga atlet tuan rumah, Chris Hoy tetapi tidak berjaya.
"Saya benar-benar rasa kecewa. Saya telah mengecewakan harapan rakyat Malaysia. Saya mohon maaf. Kalau rakyat kecewa apatah lagi saya, tentunya saya lebih kecewa," kata Azizulhasni di zon antarabangsa perkampungan atlet Olimpik di sini, semalam.
Pun begitu, Azizulhasni yang berjaya menempatkan dirinya sebagai pelumba keirinke-6 terbaik dunia kali ini berbanding terkeluar dari saingan awal semasa Temasya Beijing 2008 berkata, dia memasang azam untuk berusaha lebih gigih sebagai persiapan ke Temasya Rio 2016.
Katanya, tumpuannya selepas London 2012 adalah menyiapkan dirinya untuk bertanding dalam Kejohanan Dunia di samping Sukan Asia Busan 2014 dan Sukan Komanwel Glasgow 2014.
Kejayaannya ke saingan akhir, semalam adalah kali pertama buat pelumba kelahiran Dungun itu dalam penampilan keduanya di Sukan Olimpik.
Empat tahun lalu di Beijing dia menduduki tempat ke-10 dalam perlumbaan penentuan ketujuh hingga ke-12 selepas gagal mara ke akhir.
Seperti di Beijing 2008, Hoy tidak mempunyai masalah untuk membawa pulang emas di tanah kelahirannya.
Kejayaan Azizulhasni ke saingan akhir mengulangi pencapaian seorang lagi jaguhkeirin negara, Josiah Ng yang pernah mara di peringkat yang sama pada Olimpik Athens 2004, bagaimanapun penyertaannya dibatalkan.
Pelumba berusia 24 tahun itu pernah memenangi pingat perak keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Ballerup, Denmark dan meraih emas dalam acara yang sama di Sukan Asia 2010 Guangzhou.
Februari tahun lepas Azizul hasni mendapat tumpuan dunia selepas terlibat dalam kemalangan pada Siri Piala Dunia Klasik Manchester mengakibat kan betis kaki kirinya tercucuk serpihan trek. - UTUSAN

Share on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright My General Story 2011 - Some rights reserved | Powered by Blogger.com.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates and Theme4all