Thursday, August 9, 2012

Jom intai intai hari raya Ella dan adik beradiknya 2012

BUKAN mudah untuk mengumpul keluarga besar penyanyi tersohor, Ella memandangkan masing-masing mempunyai jadual kerja yang padat. Namun Mingguan Wanita tidak mengalah, selepas mengharungi pelbagai cabaran akhirnya kami dapat juga menyatukan tiga jelitawan, Ella, Jojie dan Saidatulnisa.

Tidak sukar bekerjasama dengan tiga selebriti ini, mereka profesional dan komited memberikan yang terbaik untuk tatapan peminat. Hadir dalam busana raya, ketiga-ketiga wanita ini kelihatan begitu anggun. Suasana meriah dengan gelak tawa tiga beradik ini.

Ditanya mengenai persiapan raya, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 46, mengakui seorang yang teliti. Dia mahukan hasil terbaik dalam segala yang dilakukan. Tidak mahu tergesa-gesa, sejak awal lagi Ella menempah baju di butik kakaknya, Saidatulnisa.

“Saya juga menempah baju di butik Korie. Dek kerana saya memang suka bergaya jadi jumlah baju agak banyak juga. Lebih kurang lima pasang setiap tahun. Saya akan reka sendiri baju raya, kemudian barulah saya hantar tempahan ke butik Korie dan Kak Sai,” cerita Ella kepada Mingguan Wanita untuk mengisi edisi khas sempena Aidilfitri.

Bercerita mengenai nostalgia hari raya, tiga beradik ini begitu emosi. Jelas Saidatulnisa kenangan meraikan Aidilfitri bersama arwah ayah, Haji Aminuddin Manap segar dalam ingatan.

“Hubungan arwah ayah dengan anak-anak sangat rapat, semua anak-anak manja dengannya. Ketika pertama kali beraya tanpa ayah memang sangat menyedihkan. Suasana begitu hambar dan masing-masing tidak dapat menahan emosi apabila terkenang arwah ayah. Beliau mempunyai tempat istimewa di hati kami.

“Setiap kali Syawal, selepas menunaikan solat sunat hari raya, kami sekeluarga akan melawat pusara ayah. Selepas itu barulah kami pulang ke rumah menanti tetamu. Seminggu sebelum raya, kami bergotong-royong membersihkan rumah ibu, Hajah Yang Asmah Long, 84 di Selangor. Detik bermaaf-maafan dengan ibu dan adik beradik antara momen yang paling manis. Alhamdulillah, kami bersatu mengharungi susah senang bersama. Kami juga berusaha memberikan yang terbaik untuk membahagiakan ibu,” ujar Saidatulnisa.

Salin Baju Raya Setiap Satu Jam

Sejak dari kecil, anak ketujuh daripada lapan beradik ini suka bergaya malah dia mempunyai tabiat yang jarang dimiliki kanak-kanak lain. Ella mengakui begitu gemar menggayakan bukan sahaja baju raya malah baju tradisional bangsa lain seperti India dan Cina.

“Saya memang sukakan kelainan, jadi saya tidak mahu tampil dengan gaya yang sama sepanjang Syawal. Sudah semestinya saya mempunyai banyak koleksi baju raya dan tradisional pelbagai bangsa. Saya akan menukar baju setiap satu jam, masa tu dah macam model buat peragaan,” seloroh Ella.

Penyanyi kecil molek ini tidak melepaskan peluang menjamu selera dengan keluarga. Juadah kegemarannya, ketupat kuah kacang ayam yang merupakan menu istimewa air tangan ibunya. Selain itu, Ella juga menggemari Kuih Cincin.

“Setiap tahun, saya bersama keluarga tidak lupa menyediakan duit raya buat tetamu cilik yang bertandang ke rumah. Saya seronok melihat keletah kanak-kanak beraya, saya akan terkenang zaman kecil dulu.

“Saya tidak berani janji untuk mengadakan rumah terbuka kerana jadual kerja sangat padat. Tahun ini, saya dan Caroline turut terlibat dengan program raya jadi masa begitu terhad. Tidak perlulah menunggu rumah terbuka, di hari raya sesiapa pun boleh datang beraya di rumah keluarga saya,” ujarnya.

Warisi Bakat Ibu

Kejelitaan Jojie, 47, begitu terserlah dalam busana rona pastel, penampilan yang bertudung menambah keayuannya. Bercerita mengenai perubahan dirinya, Jojie atau nama sebenarnya Rozita mengakui berniat untuk berhijab sejak tahun 2000. Selepas itu, dia berubah perlahan-lahan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur Allah lorongkan hati saya untuk berhijab. Saya mengambil masa yang lama melatih diri untuk mengenakan tudung. Tahun 2010, saya memakai tudung sepenuhnya, saya berdoa agar saya kekal berhijab. Saya selesa dengan penampilan kini,” ujar Jojie.

Dalam temu bual itu, Jojie memanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana adik beradiknya berjaya dalam bidang masing-masing. Dia juga gembira membantu Ella menempa nama dalam industri seni tanah air dan di luar negara.

“Sebenarnya, bakat yang kami miliki diwarisi daripada ibu saya. Dulu ibu adalah penyanyi radio di Singapura, Ella dan Korie meneruskan kerjaya seni ibu. Ibu memang berjiwa seni, selain menyanyi, beliau juga gemar menulis. Karyanya begitu puitis.

“Saya bangga dengan kejayaan Ella dan korie serta adik-beradik yang lain. Sebagai orang yang bertanggungjawab atas urusan kerja Ella, saya pastikan segalanya berjalan lancar dan bintang Ella terus bersinar dalam industri seni,” katanya yang merupakan pengkritik nombor satu Ella dalam kerjaya.

Menangis Bersama Menahan Perit

Saidatulnisa yang merupakan jurusolek terkenal tidak nafikan, kejayaan yang di kecapi olehnya dan adik-beradik tidak datang bergolek. Wanita berusia 48 tahun ini mengatakan banyak dugaan yang ditempuhi, malah mereka juga terpaksa berkorban demi mencapai impian.

“Jatuh bangun kami lalui bersama. Sebagai kakak, saya berasa sedih setiap kali mendengar gosip serta kontroversi mengenai Ella atau Jojie. Kami pernah menangis bersama-sama apabila ada kisah keterlaluan yang tidak benar disebarkan. Memang menyedihkan dan kami sangat kecewa tapi inilah lumrah kehidupan anak seni.

“Mujur Ella, Jojie dan Korie bijak menjaga diri dan mereka tenang berdepan dengan onak duri. Kami berkongsi suka duka bersama, jika ada masalah Ella dan Jojie akan berkongsi dengan saya. Kami akan berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Pendapat Saidatulnisa disokong oleh Ella. Tegas Ella, sepanjang bergelar anak seni dia tabah berdepan cerita yang tidak enak mengenainya. Ella mengakui hatinya terguris apabila kisah negatif yang disiarkan turut mencemar nama keluarga.

“Tapi saya tidak endahkan semua itu. Saya berkongsi kisah peribadi hanya dengan keluarga, mereka lebih mengenali siapa saya. Saya tidak perlu gentar dengan dugaan ini, Allah tahu kebenarannya.

“Begitu juga dengan kejayaan saya sebagai juara program realiti Mentor. Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Tidak kiralah apa pandangan orang kepada saya, itu hanya luaran. Jangan membuat andaian jika tidak kenal dengan saya. Syukur Caroline cepat belajar dan mendengar kata, saya berdoa dia akan terus menjadi penghibur versatil. Saya akan sentiasa membantu karier seninya,” ujar Ella yang sudah menganggap Caroline seperti keluarganya sendiri.

Ketika artikel ini disiarkan Ella sudah pun bergelar isteri kepada Azhar Ghazali. Ella mengakui gembira bertemu jodoh dengan lelaki yang baik dan penyayang. Syawal kali ini lebih istimewa dengan kehadiran suami.

“Memang bersyukur dan teruja meraikan Syawal buat kali pertama sebagai isteri. Saya sudah lama mengenali Azhar, kemudian kami membawa haluan masing-masing. Selepas bertemu kembali, kami sepakat mendirikan rumah tangga. Kalau sudah jodoh tak ke mana, saya doakan rumah tangga yang dibina kekal bahagia,” ujar Ella yang mendirikan rumah tangga bulan ini.

 Sumber S.H
Share on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright My General Story 2011 - Some rights reserved | Powered by Blogger.com.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates and Theme4all